Monday 14 September 2009

SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN SYAWAL

Assalamualaikum,
Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, mohon maaf kerana sudah agak lama blog ini tidak dikemas kini. kesibukan tugasan di pejabat yang tidak pernah selesai menyebabkan saya gagal menepati jadual kemas kini log ini. Kepada anak-anak didik yang akan menduduki PMR selepas Syawal nanti, selamat menduduki PMR. Saya mendoakan kalian memperoleh keputusan yang cemerlang nanti bagi memenuhi impian kalian mencapai kecemerlangan akademik. Gunakanlah kesempatan yang kian singkat ini untuk mengulang kaji. Pada Aidilfitri ini, sambutlah kejayaan menempuhi Ramadan seadanya. Selepas PMR masih ada waktu untuk merayakan Aidilfitri. Semoga doa sempena Ramadan ini dimakbulkan Allah SWT. Amin.

Tidak sampai seminggu lagi kita akan melepasi ujian Allah dalam bulan Ramadan. Syawal mulai tersenyum menyambut mereka yang bakal melepasi ujian Allah nanti. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan untuk menempuhi Ramadan yang bakal meninggalkan kita.

Pada kesempatan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI terutamanya kepada para follower yang masih setia mengikuti blog ini. Sempena Aidilfitri ini, gunakanlah kesempatan yang datang setahun sekali ini dengan sebaik-baiknya. Ziarahilah saudara mara, sahabat handai, teman-teman ataupun sesiapa juga yang mengenali kita. Bermaaf-maafanlah sesama kita. Lupakanlah segala kesilapan dan kekhilafan sama ada yang kita lakukan ataupun yang dilakukan orang lain kepada kita. Jadikanlah hari lebaran ini hari yang mengubah kita menjadi insan baru selepas membersihkan diri semasa Ramadan. Teruskanlah semangat Ramadan semasa menyambut Aidilfitri. Jika semasa Ramadan kita mampu menahan nafsu sama ada nafsu makan ataupun apa-apa juga nafsu, tiada sebab kita tidak mampu melakukan hal yang sama selepas Ramadan. Janganlah kemualiaan akal budi kita semasa Ramadan dirosakkan oleh nafsu yang tidak terkawal semasa merayakan kemenangan melawan nafsu. Kepada anak-anak yang teringin bermain mercun, kekanglah nafsu anak-anak. Ingatlah! Ada rakan-rakan anak-anak yang menderita putus jari, cedera penglihatan dan sebagainya angkara mercun. Cukuplah sekadar merayakan dengan bergembira sewaktu menziarahi rakan-rakan dan saudara mara.

Akhir kata, sambutlah salam Aidilfitri daripada saya. Keampunan dan kemaafan juga yang saya mohon atas kekhilafan yang ada dalam blog ini. Mudah-mudahan kita akan bertemu lagi pada kesempatan lain. Sekian, wassalam.

Wednesday 6 May 2009

PEMBENTUKAN IMBUHAN MeN...kan dan MeN...i

Pembentukan imbuhan kerap kali mengelirukan pelajar. Dalam penggunaan imbuhan MeN...kan dan MeN...i, pelajar sering kali membuat kesilapan dengan menggunakan imbuhan tersebut secara bertukar ganti seolah-solah kedua-dua imbuhan tersebut membawa maksud yang sama. Dalam bab ini, kita akan melihat dan meneliti secara lebih mendalam pembentukan dan perbezaan imbuhan MeN...kan dan MeN...i dalam Bahasa Melayu yang kerap menimbulkan kekeliruan kepada pelajar.

Pembentukan Imbuhan MeN...kan


Imbuhan MeN...kan membentuk kata kerja transitif yang terbit daripada kata dasar yang terdiri daripada beberapa jenis golongan kelas kata. Penggunaan golongan kata tertentu akan menunjukkan makna yang tertentu apabila menerima imbuhan MeN...kan.

Pembentukannya akan dibincangkan secara ringkas kerana yang penting ialah meneliti perbezaan maknanya dengan imbuhan MeN...i. Teliti beberapa jenis golongan kata berikut yang menunjukkan beberapa maksud yang berbeza:

Kata Dasar Imbuhan MeN...kan Maksud

Buku (kata nama) Membukukan Menjadikan buku

Darat (kata nama) Mendaratkan Membawa ke darat

Gemuk (kata adjektif) Menggemukkan Menjadikan gemuk

Jatuh (kata kerja) Menjatuhkan Menyebabkan jatuh

Beli (kata kerja) Membelikan Membeli untuk

Tindih (kata kerja) Menindihkan Menggunakan alat

Pagar (kata kerja) Memagarkan Menjadikan sebagai

Dua (kata bilangan) Menduakan Menjadikan dua

Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa contoh ayat berikut:

Ayat Contoh;

1. Pemain pertahanan pasukan itu telah menjatuhkan penyerang pasukan lawan dalam kawasan penalti.

2. Lelaki itu telah menduakan isterinya dengan berkahwin lagi.

3. Dia telah membukukan pengalamannya semasa zaman pemerintahan Jepun.

4. Mereka telah membasahkan kepala masing-masing dengan air sungai itu.

5. Ahmad melontarkan basikal adiknya ke dalam kolam.

Analisis

Semua ayat yang menerima imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud bahawa objek tepatnya (kata nama selepas kata kerja) kena secara langsung oleh perbuatan iaitu kena ‘jatuhkan’, kena ‘duakan’, kena ‘bukukan’ kena ‘basahkan’ dan kena ‘lontarkan’.

Maksud Dalam Imbuhan MeN...kan

Secara umum, imbuhan apitan MeN...kan menunjukkan dua maksud yang kerap dikelirukan.

i) Maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan secara langsung kena ke atas objek tepat dalam ayat dan menjadi alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas objek sipi

Contoh:

Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.

(objek tepat) (objek sipi)

Dalam konteks ayat di atas Amin menggunakan ‘sepotong kayu’ (objek tepat) untuk melakukan perbuatan ke atas ‘lembu itu’ (objek sipi).

Teliti contoh ayat berikut yang sama maksud pembentukannya dengan ayat di atas.

Ayat contoh;

1. Petani itu memagarkan kawat berduri ke seluruh ladangnya.

2. Orang tua itu memukulkan sebatang tongkat ke atas anaknya.

3. Dia menghadiahkan rantai mutiara kepada isterinya.

4. Kanak-kanak itu membalingkan bola kepada rakannya.

5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniakan bintang kebesaran kepada ahli sukan tersebut sempena Hari Keputeraan baginda.

ii) Maksud sesuatu perbuatan dilakukan ‘untuk’ objek tepat

Hal ini bermaksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk orang lain iaitu pelaku melakukan perbuatan untuk objek tepat manakala objek sipi merupakan sesuatu yang dilakukan perbuatan ke atasnya.

Contoh:

Amin membacakan adiknya buku cerita itu.

(objek tepat) (objek sipi)

Dalam konteks ayat di atas bermaksud Amin membaca buku untuk adiknya bukan untuk dirinya, manakala buku iaitu objek sipi merupakan alat yang dibaca dan adiknya sebagai objek tepat merupakan penerima perbuatan Amin.

Jika buku cerita mahu dijadikan objek tepat, maka akhiran ‘kan’ mesti digugurkan seperti dalam ayat berikut:

Contoh:

Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.

(objek tepat) (objek sipi)

Untuk lebih jelas, teliti ayat-ayat berikut:

Ayat contoh;

1. Ibu menjahitkan kakak sehelai baju kurung sutera.

(maksud menjahit untuk kakak)

2. Rahim mencarikan isterinya buah mempelam muda

(maksud mencari buah mempelam muda untuk isterinya)

3. Dia melukiskan adiknya sekeping gambar helang.

(maksud melukis gambar helang untuk adik)

Ringkasnya imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud objek tepat sebagai alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas sesuatu. Selain itu, juga membawa maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk benda lain iaitu ‘untuk objek tepat’, manakala perbuatannya dilakukan ke atas ‘objek sipi.

Pembentukan Imbuhan MeN...i.

Imbuhan MeN...i juga terbentuk daripada beberapa kelas kata dasar dan membawa makna yang tertentu. Teliti pembentukannya secara ringkas dan cuba buat perbandingan dengan pembentukan imbuhan MeN...kan.

Kata Dasar Imbuhan MeN...i Maksud

Pagar Memagari Meletakkan sesuatu

(kata Nama) sebagai pagar

Pukul Memukuli Melakukan perbuatan

(kata kerja) berkali-kali pada objek

Duduk Menduduki Melakukan perbuatan

(kata kerja) pada objek

Kirim Mengirimi Menyebabkan objek

(kata kerja) menerima sesuatu

Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa contoh ayat berikut:

Ayat contoh;

1. Dia akan mengirimi bapanya sepucuk surat pada setiap bulan.

2. Jepun telah menduduki Tanah Melayu selama lebih kurang empat tahun.

3. Dia memukuli lembu yang memasuki kebunnya dengan sebatang kayu.

Analisis

Dalam ketiga-tiga ayat di atas, semua objek kena secara tidak langsung. Objek-objek tersebut menerima sesuatu daripada perbuatan yang dilakukan oleh pelaku. Contohnya dalam ayat (1) ‘bapa’ sebagai objek tepat menerima surat bukannya benda yang dikirimkan kepada seseorang.

Maksud Imbuhan MeN...i

Secara umum, imbuhan apitan MeN...i, menunjukkan maksud objek tepat menerima sesuatu daripada pelaku perbuatan, manakala benda yang diterima daripada perbuatan itu dinyatakan sebagai objek sipi.

Maksud ayat juga menunjukkan bahawa objek tepat tidak bergerak tetapi objek sipi yang bergerak menuju ke arah objek tepat. Lihat dan teliti contoh ayat-ayat di bawah;

Ayat contoh;

1. Petani itu memagari ladangnya dengan kawat berduri.

2. Orang tua itu memukuli anaknya dengan sebatang tongkat.

3. Dia menghadiahi isterinya seutas rantai mutiara.

4. Kanak-kanak membalingi rakannya dengan sebiji bola.

5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniai ahli sukan itu bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda.

Bandingkan ketiga-tiga ayat yang menerima apitan MeN...i dengan ayat-ayat yang menerima apitan MeN...kan seperti yang dibincangkan terdahulu.

Adakalanya apitan MeN...i menunjukkan maksud perbuatan yang berulang-ulang dilakukan ke atas objek tepat. Teliti ayat (2) yang menunjukkan maksud anaknya menerima pukulan berulang kali. Dalam konteks ayat (1), (3), (4) dan (5) ladangnya menerima kawat berduri, isterinya menerima rantai mutiara, rakannya menerima balingan dan ahli sukan menerima kurniaan.

Perbezaan Makna Dalam Imbuhan MeN...kan dan
Imbuhan MeN...i

Sekiranya pelajar meneliti pembentukan kedua-dua imbuhan tersebut, pelajar akan mendapati terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua imbuhan itu.

Perbezaan yang paling ketara ialah apabila kedua-dua imbuhan apitan ini menggunakan kata dasar yang sama dan menerima dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi. Lihat contoh ayat berikut untuk pemahaman yang lebih jelas.

Ayat contoh;

1. Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.

(objek tepat) (objek sipi)

2. Amin melontari lembu itu dengan sepotong kayu.

(objek tepat) (objek sipi)

3. Amin membacakan adiknya buku cerita itu.

(objek tepat) (objek sipi)

4. Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.

(objek tepat) (objek sipi)

Ulasan ringkas:

Ayat (1) dan (2) menggunakan kata dasar yang sama iaitu lontar (kata kerja) tetapi menggunakan apitan yang berbeza. Oleh itu pembentukan objek dan maknanya juga berbeza. Perkataan ‘melontarkan’ menunjukkan maksud ‘sepotong kayu’ sebagai objek tepat menjadi alat atau bahan yang digunakan untuk melakukan perbuatan. Manakala perkataan ‘melontari’ menunjukkan maksud ‘lembu itu’ sebagai objek, menjadi penerima perbuatan ‘melontari’. Oleh itu jika ayat (1) menerima apitan MeN...kan, maksudnya menunjukkan lembu itu menjadi alat atau bahan untuk perbuatan melontar, ini pasti mustahil kerana tidak mungkin Amin mampu mengangkat lembu itu dan melontarkannya.

Rumusan

Kekeliruan yang kerap berlaku di kalangan pelajar dari segi pembentukan kedua-dua apitan tersebut disebabkan para pelajar kurang memahami maksud perkataan yang digunakan dan kekeliruan membezakan objek tepat dan objek sipi. Oleh itu, para pelajar perlu meneliti imbuhan apitan MeN...kan dan MeN...i dengan meneliti kesesuaian maksud ayat dengan penggunaan objek tepat dan objek sipi yang dinyatakan dalam ayat.

Para pelajar juga perlu meneliti logik ayat dari segi maksud sama ada sesuai atau tidak.

Saturday 25 April 2009

BAHAGIAN 6: Penggunaan Kata Pemeri dan Kata Nafi

Penggunaan kata pemeri dalam Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai pemeri hal atau perangkai antara subjek ayat dengan frasa utama dalam predikat bukanlah sesuatu yang wajib sebagaimana penggunaan ‘is’, ‘are’ ataupun ‘a’ dalam struktur Bahasa Inggeris.

Penggunaannya agak terbatas dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat-ayat Bahasa Melayu. Namun demikian terdapat kecenderungan penggunaannya dalam pembentukan ayat-ayat yang salah ataupun tidak gramatis khususnya apabila digunakan pada awal ayat di hadapan frasa kerja ataupun kata kerja.

Kesalahan Contoh:

1. Adalah diberitahu bahawa mesyuarat PIBG tersebut akan ditangguhkan ke minggu depan.

2. Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa anak bulan Syawal tidak kelihatan.

3. Tingkah lakunya yang sombong itu adalah menyebabkan orang ramai benci kepadanya.

Ayat-ayat di atas seharusnya menggugurkan kata pemeri ‘adalah’ bagi membentuk ayat-ayat yang betul dan gramatis.

Terdapat dua kata pemeri yang digunakan sebagai pemeri hal dalam Bahasa Melayu iaitu ‘ialah’ dan ‘adalah’.

i) Penggunaan Kata Pemeri ‘Ialah’

Kata pemeri ini digunakan di hadapan frasa nama ataupun kata nama untuk menunjukkan pertalian antara subjek dan predikat ayat ataupun dengan kata lain untuk memerihalkan subjek ayat.

Ayat Contoh:

1. Yang turut hadir dalam majlis hari jadinya ialah beberapa orang guru.

2. Antara sebab utama pelajar melepak ialah pengaruh daripada rakan-rakan sebaya.

3. Perkara yang paling penting sekarang ialah pemulihan ekonomi negara.

Kesalahan Penggunaan Kata Pemeri ‘Ialah’

Kesalahan yang biasa dilakukan semasa penggunaan kata pemeri ‘ialah’ merupakan penggabungannya dengan kata nafi ‘bukan’ dan ‘tidak’.

Kesalahan Contoh:

1. Mereka ialah bukan pelajar sekolah tersebut.

2. Pelajar-pelajar itu didenda kerana ialah tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.

Ayat sepatutnya:

1. Mereka bukan pelajar sekolah tersebut.

2. Pelajar-pelajar itu didenda kerana tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.

Satu lagi kesalahan penggunaan ‘ialah’ berlaku apabila digabungkan dengan kata kerja ataupun kata adjektif. Sepatutnya ‘ialah’ digunakan bersama-sama dengan kata nama sahaja.

Kesalahan Contoh:

3. Mereka ialah memberitahu kami tentang kejadian tersebut.

4. Orang tua itu ialah terjatuh ke dalam longkang ketika menunggang basikal.

Ayat sepatutnya:

3. Mereka yang memberitahu kami tentang kejadian itu.

4. Orang tua itu terjatuh ke dalam longkang ketika menunggang basikal.

Ulasan:

Dalam keempat-empat contoh kesalahan di atas, disebabkan penggunaan kata pemeri yang tidak perlu, maka kata pemeri yang digunakan perlu digugurkan.

ii) Penggunaan Kata Pemeri ‘Adalah’

Kata pemeri ‘adalah’ boleh digunakan secara lebih meluas berbanding kata pemeri ‘ialah’. Kata pemeri ini dapat digunakan di hadapan kata adjektif, frasa sendi nama dan dapat hadir bersama binaan kata nafi ‘tidak’ yang digabungkan dengan kata adjektif (adalah + kata nafi ‘tidak’ + adjektif).

Ayat Contoh:

1. Tawaran biasiswa tersebut adalah khusus untuk pelajar Bumiputera sahaja.

2. Kenyataan yang diberikannya adalah tidak benar.

3. Buku-buku itu adalah hasil daripada pengalamannya semasa menjadi tentera.

4. Tindakannya ketika menyelesaikan masalah itu adalah tidak wajar.

Kesalahan ayat:

Kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh digunakan bersama kata nafi ‘bukan’ dan dalam binaan frasa kerja.

Kesalahan Contoh;

1. Buku-buku itu adalah bukan untuk kamu.

2. Kegagalannya adalah disebabkan oleh kemalasannya mengulang kaji pelajaran.

3. Adalah dimaklumkan bahawa ujian Bahasa Melayu akan diadakan pada hari esok.

4. Tuan-tuan adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan dibatalkan.

Ayat sepatutnya;

1. Buku-buku itu bukan untuk kamu.

2. Kegagalannya disebabkan oleh kemalasannya mengulang kaji pelajaran.

3. Dengan ini dimaklumkan bahawa ujian Bahasa Melayu akan diadakan pada hari esok.

4. Tuan-tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan dibatalkan.

Ulasan:

Penggunaan kata pemeri dalam contoh kesalahan ayat di atas tidak perlu dan mesti digugurkan. Secara ringkasnya, penggunaan kata pemeri bukanlah sesuatu yang amat perlu dalam ayat-ayat Bahasa Melayu sebagaimana struktur ayat Bahasa Inggeris. Penggugurannya dalam ayat-ayat tertentu tidak menjejaskan makna ayat.

iii) Penggunaan Kata Nafi ‘Bukan’ dan ‘Tidak’

Secara umum terdapat dua perkataan kata nafi dalam Bahasa Melayu iaitu ‘bukan’ dan ‘tidak’

Kata nafi ‘bukan’ digunakan dalam binaan Frasa Nama dan Frasa Sendi Nama.

Ayat Contoh:

1. Itu bukan sekolah saya. (Frasa nama)

2. Orang tua itu bukan bapa saya. (Frasa nama)

3. Hadiah itu bukan untuk kami. (Frasa sendi nama)

4. Dia bukan orang kampung kami. (Frasa nama)

Kata nafi ‘tidak’ pula digunakan dalam binaan Frasa Kerja dan Frasa Adjektif.

Ayat Contoh:

1. Bapa saya tidak tidur semalaman kerana menunggu kepulangan kakak. (Frasa kerja)

2. Kami tidak menjemputnya hadir dalam majlis itu. (Frasa kerja)

3. Pemergiannya ke kota tidak direstui oleh ibunya yang sudah tua. (Frasa kerja)

4. Dia merasakan bahawa pembahagian harta pusaka bapanya tidak adil. (Frasa adjektif)

Kesalahan umum yang kerap dilakukan dalam binaan kata nafi ialah penggunaannya pada frasa yang tidak tepat. Dengan kata-kata lain disalahgunakan pada frasa yang tidak seharusnya digunakan kata nafi berkenaan.

Kesalahan Contoh;

1. Buku ini tidak untuk pelajar tingkatan tiga.

2. Orang tua itu tidak dari kampung kami.

3. Wang yang diperolehnya tidak daripada rezeki yang halal.

4. Dia marah kerana anaknya bukan mendengar nasihat yang diberikannya.

5. Tindakannya bukan wajar semasa menangani masalah itu.

Ayat sepatutnya;

1. Buku itu bukan untuk pelajar tingkatan tiga.

2. Orang tua itu bukan dari kampung kami.

3. Wang yang diperolehnya bukan daripada rezeki yang halal.

4. Dia marah kerana anaknya tidak mendengar nasihat yang diberikannya.

5. Tindakannya tidak wajar semasa menangani masalah itu.

Ulasan:

Kata nafi ‘bukan’ boleh digunakan pada frasa kerja dan frasa adjektif jika menunjukkan maksud bertentangan, namun harus digunakan bersama kata hubung ‘tetapi’.

Ayat Contoh:

1. Dia bukan hendak belajar tetapi hendak bermain-main sahaja.

2. Mereka bukan hendak memukul kamu tetapi hendak membantu kamu.

3. Kata-katanya bukan membawa kebaikan tetapi hanya membawa keburukan.

4. Dia bukan sahaja malas tetapi nakal juga.

Monday 30 March 2009

BAHAGIAN 5: HUKUM D - M (Diterangkan - Menerangkan)

Hukum D-M digolongkan dalam Frasa Nama. Kerap kita mendengar orang berkata ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kata kerja ‘goreng’ dan merupakan penerang bagi perkataan ‘pisang’ dalam frasa berkenaan. Namun disebabkan kebiasaan pertuturan dan diterima, tambahan pula difahami oleh masyarakat, sesetengah kita menerimanya sebagai betul sedangkan hakikatnya dari sudut tatabahasa pembentukannya adalah salah. Hal yang sama dapat dilihat pada frasa ‘lain-lain hal’ sedangkan hakikatnya kita merujuk ‘hal’ bukannya ‘lain-lain’. Seharusnya pembetukan frasa berkenaan ialah ‘hal-hal lain’ kerana ‘hal’ tersebut yang banyak bukannya ‘lain’. Hal ini berpunca daripada kebiasaan sebutan dan ‘sedap’ bunyi sebutan yang diterima oleh penutur lisan bahasa Melayu kerana pada sesetengah keadaan sebutannya konsisten. Misalnya kita tidak akan menyebut ‘tua kelapa’ bagi merujuk ‘kelapa yang sudah tua’, sebaliknya dalam apa-apa juga keadaan kita akan menyebut ‘kelapa tua’ bagi merujuk frasa nama berkenaan.

Pembentukan Hukum D-M
Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama. Hukum D-M tergolong dalam bahagian frasa nama. Pada dasarnya (D) merujuk aspek yang ‘Diterangkan’ manakala (M) merujuk aspek yang ‘Menerangkan’. Menurut hukum tatabahasa, sesuatu perkara yang mahu ‘diterangkan’ harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang ‘menerangkan’. Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan. Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.
Dengan kata lain, dalam pembentukan hukum D-M, unsur yang ‘Diterangkan’ merupakan unsur inti yang diletakkan pada kedudukan pertama dan unsur yang ‘Menerangkan’ merupakan unsur penerang yang diletakkan pada kedudukan kedua. Contohnya:

Bil. Unsur Diterangkan (D) Unsur Menerangkan (M) Keterangan Frasa
1 - Kelapa - tua - buah kelapa yang sudah tua
2 - Orang - muda - orang yang masih muda
3 - Guru - sains - guru yang mengajarkan sains
4 - Serbuk - cili - serbuk yang dibuat daripada cili
5 - Sos - tomato - sos yang dibuat daripada tomato
6 - Restoran - Zaini - restoran kepunyaan Zaini
7 - Kedai Buku - Harris - kedai buku kepunyaan Harris
8 - Keledek - goreng - keledek yang telah digoreng
9 - Kacang - rebus - kacang yang sudah direbus
10 - Rendang - daging - rendang yang dibuat daripada daging.
11 - Susu - lembu - susu yang diambil daripada lembu
12 - Lembu - susu - lembu yang mengeluarkan susu

Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu. Misalnya dalam bahasa Inggeris ‘Restoran Yusof’ disebut sebagai ‘Yusof Restaurant’. Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan ‘Restoran’ yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur ‘Restoran’ pada kedudukan pertama sebagai aspek yang ‘Diterangkan’ barulah diikuti oleh ‘Yusof’ sebagai unsur yang ‘Menerangkan’ iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai ‘Restoran Yusof’. Dari sudat makna, jika disebut ‘Yusof Restoran’, maka sebenarnya kita merujuk kepada ‘Yusof’ sebagai ‘restoran’. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran.
Dalam sesetengah keadaan, terdapat frasa yang boleh disusun secara terbalik tetapi membentuk makna yang berbeza, bergantung kepada unsur yang disebut dahulu. Misalnya frasa nama ‘susu lembu’ merujuk maksud ‘susu yang diambil daripada lembu’. Manakala ‘lembu susu’ merujuk maksud ‘lembu yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan susunya’. Maka dari segi ayat haruslah disebut mengikut maksud yang ingin disampaikan. Contohnya;
1. Ahmad minum susu lembu pada setiap pagi.
2. Ahmad memelihara beberapa ekor lembu susu.

Ulasan:

Ayat 1 merujuk kepada susu. Manakala ayat 2 merujuk kepada lembu yang dipelihara bagi mendapatkan susunya. Maka apabila ayat 1 diubah kepada ‘lembu susu’ maka dari segi maksud, maknanya agak ganjil kerana tidak mungkin ‘Ahmad minum lembu’ sedangkan hakikatnya ‘Ahmad minum susu’. Manakala ayat 2 pula jika diubah kepada ‘susu lembu’ juga menimbulkan kekacauan maksud ayat kerana tidak mungkin ‘Ahmad memelihara susu’, sedangkan maksud yang tepat ialah “Ahmad memelihara lembu’.

Kekeliruan Hukum D-M
Dalam pembentukan frasa nama yang berkaitan dengan Hukum D-M, terdapat beberapa kekeliruan kerana kebiasaan penggunaan yang diterima pakai dalam pertuturan harian sebagai frasa yang betul. Hal ini berpunca daripada pemahaman masyarakat (masyarakat memahami frasa tersebut) terhadap frasa berkenaan, sedangkan hakikatnya dari segi hukum tatabahasa perkara ini menyalahi hukum pembentukan frasa nama.
Antara frasa nama yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah;

Bil. Bentuk Yang Salah Bentuk Yang Betul
1. - lain-lain hal - hal-hal lain
2. - lain-lain perkara - perkara-perkara lain
3. - lain-lain masalah - masalah-masalah lain
4. - lain-lain kata - kata-kata lain
5. - warung goreng pisang - warung pisang goreng
6. - Adnin Kedai Runcit - Kedai Runcit Adnin
7. - tomato sos - sos tomato
8. - pencuci serbuk - serbuk pencuci
9. - Tan Klinik Gigi - Klinik Gigi Tan
10. - petrolium gas - gas petrolium

Semua bentuk di atas bertentangan dengan pembentukan hukum D-M dari segi maksud frasa berkenaan kerana unsur utama (‘Diterangkan’) terletak di belakang unsur yang ‘Menerangkan’. Semua bentuk di atas merupakan terjemahan terus mengikut struktur bahasa Inggeris.

Sunday 29 March 2009

BAHAGIAN 4: BENTUK JAMAK

Bentuk Jamak tergolong dalam Frasa Nama. Kesalahan-kesalahan yang terbentuk kebiasaannya merupakan bentuk kesalahan dari segi frasa. Kesalahan yang berlaku juga kurang disedari oleh kebanyakan pelajar kerana maksud ayat masih tidak terjejas dan masih tepat. Namun dari segi pembentukan Frasa Nama terdapat kesalahan kerana pembentukan dan penggunaan kata nama jamak yang tidak tepat.

Pembentukan kata nama jamak boleh berlaku dalam dua cara iaitu;

i. Pengulangan kata nama .

ii. Penggunaan kata bilangan.

i. PENGULANGAN KATA NAMA

Bentuk jamak seumpama ini dapat dibentuk dengan mengulangi kata nama yang digunakan dalam ayat untuk menunjukkan bilangan yang lebih daripada satu ataupun untuk menunjukkan jamak.

Contohnya:

Kata nama Bentuk Jamak

i. pekerja pekerja-pekerja

ii. meja meja-meja

iii. buku buku-buku

Namun perlu juga diingat bahawa terdapat kata nama yang diulangi tidak menunjukkan bentuk jamak sebaliknya hanya membentuk kata ganda yang menunjukkan kata nama sahaja.

Contoh Kata Nama yang diulangi tetapi tidak menunjukkan Bentuk Jamak seperti berikut :

- rama-rama - kura-kura

- gula-gula - biri-biri

- kanak-kanak - jentik-jentik

Bentuk kata nama di atas, jika menunjukkan maksud banyak (jamak) perlu menerima kata bilangan.

Contohnya:

- beberapa ekor rama-rama

- semua gula-gula

- tiga orang kanak-kanak

- lima ekor kura-kura

- beberapa ekor biri-biri

- semua jentik-jentik

  • Dalam proses pembentukan kata nama bilangan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian, iaitu;

Peringatan 1

Terdapat sesetengah kata nama yang memang mendukung makna jamak (lebih daripada satu) dan tidak boleh digandakan.

Kesalahan Contoh: Bentuk sepatutnya

- Penduduk-penduduk - Penduduk

- Mereka-mereka - Mereka

- Umat-umat - Umat

- Rakyat-rakyat - Rakyat

Peringatan 2

a) Kata Nama yang telah diulangi (digandakan dan menunjukkan maksud jamak) tidak boleh menerima kata bilangan kerana pembentukan yang sedemikian membentuk kesalahan Frasa Nama

Kesalahan Contoh:

i. Lima orang askar-askar

ii. Semua bahan-bahan

iii. Beberapa helai kertas-kertas

Frasa Sepatutnya :

i. Lima orang askar

ii. Semua bahan

iii. Beberapa helai kertas

Ulasan::

Kata nama yang telah menerima kata bilangan tidak perlu digandakan lagi kerana frasa yang menerima kata bilangan telah sedia asal menunjukkan bilangan dan kata nama yang digandakan juga menunjukkan bilangan.

b) Setiap Kata Nama yang telah diulang (digandakan) juga tidak boleh menerima perulangan pada kata adjektif yang merujuk kepada kata nama tersebut. Salah satu antara Kata Nama dan Kata Adjektif perlu digugurkan perulangannya. Hal ini disebabkan kata nama yang diulang dan kata adjektif yang diulang telah menunjukkan bentuk jamak.

Kesalahan Contoh :

i. Baju-bajunya mahal-mahal belaka.

ii. Pelajar-pelajar sekolah itu pandai-pandai belaka.

iii. Rumah-rumah di situ cantik-cantik belaka.

Frasa Sepatutnya :

i. Baju-bajunya mahal belaka.

ii. Pelajar-pelajar sekolah itu pandai belaka.

iii. Rumah-rumah di situ cantik belaka.

Ataupun

i. Bajunya mahal-mahal belaka.

ii. Pelajar sekolah itu pandai-pandai belaka.

iii. Rumah di situ cantik-cantik belaka.

Ulasan:

Penggandaan pada kedua-dua kata nama dan kata adjektif tidak perlu kerana maksud kedua-duanya jika digandakan akan menunjukkan bilangan.

2. PENGGUNAAN KATA BILANGAN

Pembentukan kata nama jamak bentuk ini menggunakan perkataan yang menunjukkan jumlah sesuatu kata nama untuk membentuk frasa nama. Bentuk jamak sebegini terbahagi kepada enam jenis iaitu:

i. Kata Bilangan Tentu

Bentuk Jamak ini menggunakan angka atau jumlah tertentu untuk menunjukkan bilangan.

Contohnya:

- dua / tiga / lapan

- sepuluh

- seratus

- lima ribu dan sebagainya.

Pembentukan kata jamak seperti ini memerlukan penjodoh bilangan pada kata nama untuk mengelakkkan kesalahan frasa..

Kesalahan Contoh:

i. Dua pelajar sedang bermain..

ii. Lima ribu askar terbunuh dalam peperangan itu.

iii. Lima rumah telah terbakar dalam kejadian itu.

Ayat Sepatutnya:

i. Dua orang pelajar sedang bermain.

ii. Lima ribu orang askar terbunuh dalam peperangan itu.

iii. Lima buah rumah telah terbakar dalam kejadian itu.

ii. Kata Bilangan Tak Tentu.

Bentuk Jamak ini tidak menentukan jumlah yang hendak dinyatakan secara tetap. Jumlah yang dinyatakan adalah umum, namun masih menunjukkan jumlah sesuatu kata nama kerana digunakan bersama kata nama untuk membentuk frasa nama.

Contohnya :

- Para

- Segelintir

- Sekalian

- Segenap

- Sebilangan

- Semua

- Segala

- Seluruh

- Beberapa

- Pelbagai

- Berbagai-bagai

  • Kecuali kata bilangan “beberapa” kata bilangan tak tentu yang lain tidak boleh menerima penjodoh bilangan yang akan membentuk kesalahan frasa dan mengubah makna ayat.
  • Kata bilangan ‘para’ pula tidak boleh digandakan kerana akan membentuk maksud ‘rak’ jika digandakan.

Kesalahan Contoh :

i. Semua ekor burung itu telah mati.

ii. Seluruh buah kampung itu telah dilanda banjir.

iii. Para orang pemuda diminta menyumbang tenaga kepada negara.

iv. Para-para pelajar akan didenda jika melakukan kesalahan.

Ayat Sepatutnya:

i. Semua burung itu telah mati.

ii. Seluruh kampung itu telah dilanda banjir.

iii. Para pemuda diminta menyumbang tenaga kepada negara.

iv. Para pelajar akan didenda jika melakukan kesalahan.

iii. Kata Bilangan Pisahan

Kata bilangan ini perlu digandakan ataupun menerima ‘se’ pada kata ‘tiap’. Kesalahan pembentukan akan membentuk kesalahan penggunaan kata nama.

Kesalahan Contoh:

i. Tiap pelajar perlu berdisiplin.

ii. Mereka menggunakan peralatan masing.

Ayat Sepatutnya:

i. Tiap-tiap pelajar perlu berdisiplin.

ii. Mereka menggunakan perlatan masing-masing.

Ulasan:

Kata bilangan tiap-tiap dan masing-masing tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya menjadi tiap atau masing kerana maksud yang dibentuk akan menunjukkan maksud yang tidak tepat.

iv. Kata Bilangan Himpunan

Bentuk jamak ini menggunakan imbuhan ‘ber’ dan ‘se’ dan perkataan yang menunjukkan bilangan tersebut digandakan .

Contohnya:

- berbagai-bagai

- berjenis-jenis

- berpuluh-puluh

- kedua-dua

- bermacam-macam

- setengah-setengah

- sesetengah

Bentuk jamak ini perlu digandakan untuk mengelakkan pembentukan kesalahan kata.

Kesalahan Contoh:

i. Berbagai barang diijual di kedai itu.

ii. Berpuluh orang pemuda ditangkap dalam operasi itu.

iii. Setengah pelajar gemar ponteng sekolah tanpa sebab.

iv. Berpuluh pelajar sedang berbaris di padang.

v. Beribu manusia membanjiri stadium itu.

Ayat Sepatutnya:

i. Berbagai-bagai barang ….

ii. Berpuluh-puluh orang pemuda ….

iii. Setengah-setengah pelajar …. (atau) Sesetengah pelajar .......

iv. Berpuluh-puluh ….. (atau) Puluhan .......

v. Beribu-ribu….. (atau) Ribuan ......

v. Kata Bilangan Pecahan

Bentuk jamak ini menunjukkan pecahan daripada bahagian yang besar.

Contohnya:

- Suku

- Satu perempat

- Setengah

- Dua pertiga dan sebagainya.

Pembentukannya dan susunan bagi kata bilangan suku dan setengah juga perlu betul dan tepat dan tidak boleh disusun sewenang-wenangnya.

Kesalahan Contoh:

i. Kami telah menanti Ahmad sejak tiga suku jam yang lalu.

ii. Barang-barang itu berharga hanya tujuh setengah ringgit sahaja.

Ayat Sepatutnya:

i. …… tiga jam suku …..

ii. …… tujuh ringgit setengah …..

vi. Kata Bilangan Tingkat

Bentuk jamak ini menunjukkan kedudukan sesuatu kata nama yang digunakan bersama dengan kata bilangan tersebut.

Contohnya:

- kedua

- ketiga

- pertama

- keseratus dan seterusnya.

Ayat Contoh:

i. Dia mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu.

ii. Aminah memperoleh tempat kelima dalam peperiksaan di kelasnya.

Kata bilangan ini jarang membentuk kesalahan dan pembentukan bentuk jamak kerana fungsinya yang membentuk tingkat kedudukan sesuatu kata nama.

Rumusan

Dalam menganalisis pembentukan kata nama bilangan, kita perlu berhati-hati bukan sahaja daripada aspek pembentukannya, malahan juga dari aspek makna. Jangan sesekali menganggap bentuk yang biasa digunakan dalam lisan sebagai betul, maka dari segi hukum tatabahasa juga betul.