Monday, 30 March 2009

BAHAGIAN 5: HUKUM D - M (Diterangkan - Menerangkan)

Hukum D-M digolongkan dalam Frasa Nama. Kerap kita mendengar orang berkata ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kata kerja ‘goreng’ dan merupakan penerang bagi perkataan ‘pisang’ dalam frasa berkenaan. Namun disebabkan kebiasaan pertuturan dan diterima, tambahan pula difahami oleh masyarakat, sesetengah kita menerimanya sebagai betul sedangkan hakikatnya dari sudut tatabahasa pembentukannya adalah salah. Hal yang sama dapat dilihat pada frasa ‘lain-lain hal’ sedangkan hakikatnya kita merujuk ‘hal’ bukannya ‘lain-lain’. Seharusnya pembetukan frasa berkenaan ialah ‘hal-hal lain’ kerana ‘hal’ tersebut yang banyak bukannya ‘lain’. Hal ini berpunca daripada kebiasaan sebutan dan ‘sedap’ bunyi sebutan yang diterima oleh penutur lisan bahasa Melayu kerana pada sesetengah keadaan sebutannya konsisten. Misalnya kita tidak akan menyebut ‘tua kelapa’ bagi merujuk ‘kelapa yang sudah tua’, sebaliknya dalam apa-apa juga keadaan kita akan menyebut ‘kelapa tua’ bagi merujuk frasa nama berkenaan.

Pembentukan Hukum D-M
Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama. Hukum D-M tergolong dalam bahagian frasa nama. Pada dasarnya (D) merujuk aspek yang ‘Diterangkan’ manakala (M) merujuk aspek yang ‘Menerangkan’. Menurut hukum tatabahasa, sesuatu perkara yang mahu ‘diterangkan’ harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang ‘menerangkan’. Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan. Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.
Dengan kata lain, dalam pembentukan hukum D-M, unsur yang ‘Diterangkan’ merupakan unsur inti yang diletakkan pada kedudukan pertama dan unsur yang ‘Menerangkan’ merupakan unsur penerang yang diletakkan pada kedudukan kedua. Contohnya:

Bil. Unsur Diterangkan (D) Unsur Menerangkan (M) Keterangan Frasa
1 - Kelapa - tua - buah kelapa yang sudah tua
2 - Orang - muda - orang yang masih muda
3 - Guru - sains - guru yang mengajarkan sains
4 - Serbuk - cili - serbuk yang dibuat daripada cili
5 - Sos - tomato - sos yang dibuat daripada tomato
6 - Restoran - Zaini - restoran kepunyaan Zaini
7 - Kedai Buku - Harris - kedai buku kepunyaan Harris
8 - Keledek - goreng - keledek yang telah digoreng
9 - Kacang - rebus - kacang yang sudah direbus
10 - Rendang - daging - rendang yang dibuat daripada daging.
11 - Susu - lembu - susu yang diambil daripada lembu
12 - Lembu - susu - lembu yang mengeluarkan susu

Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu. Misalnya dalam bahasa Inggeris ‘Restoran Yusof’ disebut sebagai ‘Yusof Restaurant’. Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan ‘Restoran’ yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur ‘Restoran’ pada kedudukan pertama sebagai aspek yang ‘Diterangkan’ barulah diikuti oleh ‘Yusof’ sebagai unsur yang ‘Menerangkan’ iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai ‘Restoran Yusof’. Dari sudat makna, jika disebut ‘Yusof Restoran’, maka sebenarnya kita merujuk kepada ‘Yusof’ sebagai ‘restoran’. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran.
Dalam sesetengah keadaan, terdapat frasa yang boleh disusun secara terbalik tetapi membentuk makna yang berbeza, bergantung kepada unsur yang disebut dahulu. Misalnya frasa nama ‘susu lembu’ merujuk maksud ‘susu yang diambil daripada lembu’. Manakala ‘lembu susu’ merujuk maksud ‘lembu yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan susunya’. Maka dari segi ayat haruslah disebut mengikut maksud yang ingin disampaikan. Contohnya;
1. Ahmad minum susu lembu pada setiap pagi.
2. Ahmad memelihara beberapa ekor lembu susu.

Ulasan:

Ayat 1 merujuk kepada susu. Manakala ayat 2 merujuk kepada lembu yang dipelihara bagi mendapatkan susunya. Maka apabila ayat 1 diubah kepada ‘lembu susu’ maka dari segi maksud, maknanya agak ganjil kerana tidak mungkin ‘Ahmad minum lembu’ sedangkan hakikatnya ‘Ahmad minum susu’. Manakala ayat 2 pula jika diubah kepada ‘susu lembu’ juga menimbulkan kekacauan maksud ayat kerana tidak mungkin ‘Ahmad memelihara susu’, sedangkan maksud yang tepat ialah “Ahmad memelihara lembu’.

Kekeliruan Hukum D-M
Dalam pembentukan frasa nama yang berkaitan dengan Hukum D-M, terdapat beberapa kekeliruan kerana kebiasaan penggunaan yang diterima pakai dalam pertuturan harian sebagai frasa yang betul. Hal ini berpunca daripada pemahaman masyarakat (masyarakat memahami frasa tersebut) terhadap frasa berkenaan, sedangkan hakikatnya dari segi hukum tatabahasa perkara ini menyalahi hukum pembentukan frasa nama.
Antara frasa nama yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah;

Bil. Bentuk Yang Salah Bentuk Yang Betul
1. - lain-lain hal - hal-hal lain
2. - lain-lain perkara - perkara-perkara lain
3. - lain-lain masalah - masalah-masalah lain
4. - lain-lain kata - kata-kata lain
5. - warung goreng pisang - warung pisang goreng
6. - Adnin Kedai Runcit - Kedai Runcit Adnin
7. - tomato sos - sos tomato
8. - pencuci serbuk - serbuk pencuci
9. - Tan Klinik Gigi - Klinik Gigi Tan
10. - petrolium gas - gas petrolium

Semua bentuk di atas bertentangan dengan pembentukan hukum D-M dari segi maksud frasa berkenaan kerana unsur utama (‘Diterangkan’) terletak di belakang unsur yang ‘Menerangkan’. Semua bentuk di atas merupakan terjemahan terus mengikut struktur bahasa Inggeris.

2 comments:

  1. Tahniah, sdr Azmi. Teruskan perjuangan dan jihad sdr. Orang yang bodoh dan dungu sahaja yang tidak memperjuangkan bahasa ibunda sendiri. Mereka sama jugalah dengan petualang bangsa kerana bahasa jiwa bangsa. Tanpa bahasa Melayu, hilanglah Melayu.

    ReplyDelete
  2. saya keliru dengan 'kali pertama' dengan 'pertama kali'... boleh tolong jelaskan tak?

    terima kasih :)

    ReplyDelete