Wednesday 18 March 2009

KEMBARA SEORANG AKU



Anak-anak ini belum mengerti apa-apa. Mereka tidak mengerti peri perlunya ilmu pengetahuan bagi melayari dunia masa depan. Mereka hanya patuh kepada arahan yang diberikan tanpa soal. Nun, jauh di pedalaman (12 jam melalui jalan balak) mereka tidak pernah mengerti dunia di luar sana menuntut kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk menempuhnya. Tanggungjawab siapa untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar yang tidak mengenal belas kasihan kepada mereka yang tidak memiliki ilmu pengetahuan.
ANAK-ANAK INI PERLU AKAN PEMBELAAN
Kenangan yang tidak mungkin terpadam semasa aku di Lusong Laku. Keinsafan terpalit di dada melihat anak-anak Penan seawal usia tujuh tahun tinggal di asrama tanpa ibu bapa. Mereka bergantung kepada diri sendiri.

Tuesday 17 March 2009

BAHAGIAN 3 - PERTINDIHAN MAKSUD DALAM BAHASA MELAYU

PERTINDIHAN MAKSUD DALAM BAHASA MELAYU

Dalam proses pembentukan kata dan frasa bahasa Melayu terdapat banyak kesilapan perulangan maksud yang sama. Perkara ini menyebabkan kata dan frasa yang dibentuk menjadi tidak gramatis atau tidak menepati nahu ataupun hukum-hukum tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini kebanyakannya berpunca daripada kebiasaan penggunaannya dalam pertuturan lisan yang tidak mementingkan nahu ataupun hukum tatabahasa. Dalam pertuturan lisan, hal ini dianggap betul walaupun sebenarnya bercanggah dengan proses pembentukan kata dan frasa yang betul. Misalnya perkataan ‘mereka’ yang merujuk bilangan lebih daripada satu diulang menjadi ‘mereka-mereka’. Hal ini menyebabkan berlaku pertindihan maksud yang sama. Walaupun penggandaan pada perkataan ‘mereka’ menjadi ‘mereka-mereka’ tidak menjejaskan maksud asalnya, namun pembentukannya menyalahi nahu ataupun tatabahasa bahasa Melayu yang tidak membolehkan dua maksud yang membentuk makna yang sama dalam kata dan frasa diulang.
Hal yang sama dapat diperhatikan dalam pembentukan frasa ‘paling besar sekali’. Perkataan penguat depan ‘paling’ merujuk maksud darjah penghabisan, begitu juga dengan perkataan penguat belakang ‘sekali’ yang merujuk maksud yang sama. Maka apabila dibentuk frasa ‘paling besar sekali’ , sebenarnya kita telah mengulang perkara yang sama ataupun dengan kata lain telah berlaku pertindihan maksud yang sama dalam satu frasa.
Teliti ayat berikut yang menunjukkan pertindihan maksud yang sama dalam satu ayat serta merujuk perkara yang sama tetapi dianggap oleh kebanyakan pengguna bahasa Melayu sebagai betul walaupun sebenarnya mengandungi kesalahan tatabahasa.

Kesalahan Contoh 1:
Petani-petani di desa itu rajin-rajin belaka ketika mengusahakan ladang mereka.
Keterangan:
‘Petani-petani’ merupakan penggandaan pada kata nama yang merujuk maksud bilangan lebih daripada satu. ‘Rajin-rajin’ merupakan kata adjektif yang merujuk kepada maksud bilangan dan merujuk kepada petani-petani yang bersifat rajin.

Kesalahan Contoh 2:
Mereka saling bersalam-salaman ketika bertemu di warung itu.
Keterangan:
Perkataan ‘saling’ merujuk maksud berbalas-balas antara dua pihak. Perkataan ‘bersalam-salaman’ juga merujuk maksud berbalas-balas salam iaitu antara beberapa orang yang bersalam antara satu sama lain. Antara kesalahan pertindihan maksud yang sama dalam satu ayat ialah;

Pertindihan Maksud Kata Nama
Kata nama yang telah merujuk maksud bilangan tidak boleh digandakan.
Kesalahan Contoh:
- Mereka-mereka
- Umat-umat
- Rakyat-rakyat
- Penduduk-penduduk
- Pertindihan Maksud Kata Sendi Nama
- Demi untuk
- Oleh kerana

Keterangan:
Kata sendi nama ‘demi, untuk dan bagi’ merujuk maksud kegunaan sesuatu, bahagian yang ditentukan dan maksud tujuan. Penggunaan ‘untuk’ dan ‘bagi’ pada kata sendi nama ‘demi’ merupakan pertindihan maksud yang sama dan harus digugurkan.
Hal yang sama pada kata sendi nama ‘oleh kerana’. Kata sendi nama ‘oleh’ salah satunya merujuk maksud ‘sebab’, maka kata ‘kerana’ yang merujuk maksud yang sama tidak harus digunakan dan perlu digunakan salah satu sahaja. teliti contoh kesalahan di bawah. Kata sendi nama ‘oleh’ boleh dibentuk menjadi ‘oleh sebab’ kerana kata ‘sebab’ bukan merupakan kata sendi nama, maka tidak berlaku pertindihan maksud yang sama dalam frasa berkenaan.

Kesalahan Contoh::
- Mereka berjuang demi untuk keamanan negara ini.
- Demi untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan, dia telah membuat persediaan sejak awal
lagi.
- Pendekar itu mati oleh kerana senjatanya sendiri.
- Pasukan itu kalah oleh kerana keletihan semasa perjalanan ke tempat pertandingan.

Ayat Sepatutnya:
- Mereka berjuang demi keamanan negara ini.
- Demi mencapai kejayaan dalam peperiksaan, dia telah membuat persediaan sejak awal lagi.
- Pendekar itu mati oleh (sebab)senjatanya sendiri. Atau. Pendekar itu mati kerana senjatanya
sendiri.
- Pasukan itu kalah oleh (sebab) keletihan semasa perjalanan ke tempat pertandingan. Atau. - Pasukan itu kalah kerana keletihan semasa perjalanan ke tempat pertandingan.
Kata ‘sebab’ dalam frasa ‘oleh sebab’ boleh digugurkan tanpa mengubah maksud ayat

berkenaan.

Pertindihan Maksud Frasa Nama
- Kata Jamak
Kata jamak merujuk maksud bilangan. Terdapat pelbagai jenis kata jamak dalam bahasa Melayu. Sila rujuk jenis kata jamak. Senarai kesalahan yang sering dilakukan dalam pembentukan kata jamak ialah apabila kata nama selepas kata jamak digandakan dan merujuk maksud bilangan.
Peringatan!
Terdapat kata ganda yang tidak merujuk maksud bilangan, misalnya kura-kura, jentik-jentik, kanak-kanak, biri-biri. Bagi kata ganda yang tidak merujuk maksud bilangan kata jamak perlu digunakan untuk menunjukkan maksud bilangan. Misalnya ‘semua kanak-kanak’, ‘kebanyakan biri-biri’ ataupun ‘semua rama-rama’.)

Senarai Kesalahan Frasa Nama Yang Merujuk Pertindihan Maksud Yang Sama
1. Pelbagai barang-barang,
2. Senarai harga-harga
3. Semua sekolah-sekolah
4. Beberapa buah kedai-kedai
5. Segala kerja-kerja
6. Kebanyakan guru-guru
7. Setiap pekerja-pekerja
8. Semua ketua-ketua jabatan
9. Segelintir penduduk-penduduk kampung
10. Sebahagian projek-projek pembangunan

Semua frasa di atas perlu digugurkan penggandaan pada kata nama ataupun digugurkan kata bilangannya.

Pertindihan Maksud Frasa Kerja
Pembentukan frasa kerja juga menampakkan pertindihan maksud yang kadang kala tidak begitu disedari oleh pengguna bahas Melayu. Teliti ayat berikut;

Kesalahan Contoh:
1. Budak lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali ketika disuruh makan..
2. Para pelajar di kelas itu mengangguk-anggukkan kepala berkali-kali sebagai isyarat bahawa mereka faham akan penerangan Cikgu Leman.
3. Beberapa orang kanak-kanak kelihatan saling berkejar-kejaran di tepi pantai.

Keterangan:
Frasa kerja ‘menggeleng-gelengkan kepala’ dan ‘menangguk-anggukkan kepala’ sudah merujuk maksud berulang-ulang ataupun lebih daripada sekali, maka seharusnya frasa ‘berkali-kali’ tidak perlu digunakan dan harus digugurkan. Frasa ‘berkali-kali’ boleh digunakan sekiranya frasa kerja ‘menggeleng-gelengkan’ dan ‘mengangguk-anggukkan’ tidak digandakan dan ayat menjadi seperti berikut;


Ayat Sepatutnya:
1. Budak lelaki itu menggelengkan kepalanya berkali-kali ketika disuruh makan. (atau) Budak lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya ketika disuruh makan.
2. Para pelajar di kelas itu menganggukkan kepala berkali-kali sebagai isyarat bahawa mereka faham akan penerangan Cikgu Leman. (atau) Para pelajar di kelas itu mengangguk-anggukkan kepala sebagai isyarat bahawa mereka faham akan penerangan Cikgu Leman.
3. Beberapa orang kanak-kanak kelihatan saling berkejaran di tepi pantai. (atau) Beberapa orang kanak-kanak kelihatan berkejar-kejaran di tepi pantai.

Pertindihan Maksud Frasa Sendi
Selain itu, kata nama selepas ‘di antara’ dan ‘antara’ TIDAK BOLEH digandakan. Hal ini disebabkan perkataan ‘antara’ dan ‘di antara’ sudah merujuk maksud bilangan ataupun lebih daripada satu iaitu sekurang-kurangnya dua unsur. Hal yang sama berlaku dalam pembentukan kata sendi ‘hingga’ dan ‘ke’ yang kerap digunakan serentak.

Contoh Kesalahan:
1. Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran ialah....
2. Antara bandar-bandar besar yang terdapat di Malaysia ialah....
3. Hingga ke hari ini, mereka tidak pernah datang lagi ke sini.

Dalam proses pembentukan frasa adjektif terdapat penggunaan kata penguat iaitu kata penguat depan (paling, begitu, agak), kata penguat belakang (sekali, benar, nian) dan kata penguat bebas (sangat, sungguh, amat). Kata adjektif yang telah menerima imbuhan ‘ter’ dan merujuk maksud darjah penghabisan juga tidak boleh menerima kata penguat kecuali pada kata penguat bebas (teramat pandai, tersangat masyhur – bentuk ini merupakan kekecualian dalam pembentukan frasa adjektif). Kecuali adjektif yang menerima kata penguat bebas, penggunaan dua kata penguat (penguat depan dan penguat belakang) dalam adjektif merupakan kesalahan dalam pembentukan frasa adjektif.


Kesalahan Contoh:
1. Pembangunan di kawasan tersebut begitu pesat sekali sejak akhir-akhir ini.
2. Pasukan bola sepak yang paling hebat sekali di dunia ialah pasukan bola sepak Brazil.
3. Bangunan yang tertinggi sekali di dunia itu musnah dalam satu kebakaran pada malam tadi.


Ayat Sepatutnya
1. Pembangunan di kawasan tersebut begitu pesat (atau) pesat sekali sejak akhir-akhir ini.
2. Pasukan bola sepak yang paling hebat (atau) hebat sekali di dunia ialah pasukan bola sepak Brazil.
3. Bangunan yang tertinggi (atau) tinggi sekali di dunia itu musnah dalam satu kebakaran pada malam tadi.

Selain itu penggandaan pada kata nama dan penggandaan pada kata adjektif dalam satu satu ayat dan merujuk maksud yang sama juga dianggap kesalahan.

Kesalahan Contoh:
1. Kereta-kereta (kata nama) yang dipamerkan dalam pameran automobil itu cantik-cantik (kata adjektif) belaka.
2. Buah-buahan (kata nama) yang dijual di gerai itu segar-segar (kata adjektif) belaka.

Ayat sepatutnya
1. Kereta-kereta (kata nama) yang dipamerkan dalam pameran automobil itu cantik (kata adjektif) belaka.
2. Buah-buahan (kata nama) yang dijual di gerai itu segar (kata adjektif) belaka.
atau
3. Kereta (kata nama) yang dipamerkan dalam pameran automobil itu cantik-cantik (kata adjektif) belaka.
4. Buah (kata nama) yang dijual di gerai itu segar-segar (kata adjektif) belaka.

Rumusan
Perlu diingat walaupun pertindihan maksud dalam pembentukan kata dan frasa tidak mengubah maksud ayat, namun pembentukannya dianggap lewah dan tidak menepati hukum tatabahasa bahasa Melayu.

BAHAGIAN 2 - KESALAHAN FRASA

KESALAHAN PEMBENTUKAN FRASA
Antara kesalahan dari segi frasa yang kerap dikemukakan ialah;
1) Frasa nama (kata nama jamak, kata majmuk, rangkai kata setara dan hukum DM)
2) Frasa kerja pasif kata ganti diri pertama/kedua dan kata ganti diri ketiga
3) Frasa kerja transitif dan tak transitif
4) Frasa adjektif
5) Frasa sendi

1) Kesalahan Frasa Nama
Kesalahan yang kerap ialah kesalahan penggunaan bentuk jamak ataupun kata bilangan, kata nama majmuk, rangkai kata setara dan hukum DM.

Kesalahan Contoh:
1. Kesemua peserta-peserta seminar itu dihadiahi cenderamata sebagai kenang-kenangan.
2. Kami akan membincangkan lain-lain hal dalam mesyuarat tersebut.
3. Alat tulis-alat tulis itu kami beli dari kedai buku berhampiran.
4. Ibu-ibu bapa pelajar sekolah itu diwajibkan hadir ke majlis penyerahan keputusan peperiksaan anak-anak mereka.
5. Para-para guru diseru oleh Menteri Pendidikan agar sentiasa peka dengan perkembangan teknologi maklumat.

Ayat sepatutnya:
1. Kesemua peserta (atau: peserta-peserta) seminar itu ......
2. ...... membincangkan hal-hal lain dalam mesyuarat ......
3. Alat-alat tulis (atau: semua alat tulis) itu kami beli .......
4. Para ibu bapa pelajar sekolah itu ......
5. Para guru (atau: guru-guru) diseru .......

Ulasan ringkas:
1. Kata nama yang telah digandakan dan menunjukkan bilangan tidak boleh menerima kata bilangan lagi. Namun kata nama yang digandakan tetapi tidak menunjukkan bilangan perlu menerima kata bilangan seperti ‘semua kanak-kanak’ atau ‘ semua rama-rama’.
2. Perkataan ‘hal’ harus mendahului perkataan ‘lain’ dan digandakan untuk menunjukkan hal yang banyak, bukannya lain yang banyak.
3. Kata majmuk ‘alat tulis’ tidak boleh digandakan keseluruhannya, memadai digandakan perkataan pertama sahaja atau menerima kata bilangan.
4. Perkataan ‘ibu bapa’ merupakan rangkai kata setara yang boleh diselitkan perkataan ‘dan’ ataupun ‘atau’ dan tidak boleh digandakan langsung, sebaliknya hanya menerima kata bilangan untuk menunjukkan jumlah.
5. Sama sebagaimana dalam ayat (1)

2) Kesalahan Frasa Kerja Pasif.
Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah pembentukan frasa kerja pasif kata ganti diri pertama dan kedua yang tidak tepat atau menyisipkan apa-apa perkataan sama ada kata bantu atau kata sendi antara pelaku dan kata kerja pasif diri pertama dan kedua. Selain itu kesalahan pembentukan frasa kerja pasif kata ganti diri ketiga yang tidak tepat iaitu mengikut bentuk ayat pasif kata ganti nama diri pertama atau kata ganti nama diri kedua. Selain itu juga terdapat ayat pasif kata ganti nama diri ketiga yang menerima keterangan selepas kata kerja yang menggugurkan kata sendi nama ‘oleh’.

Kesalahan Contoh:
1. Bahan-bahan buangan itu mereka kumpulkan sebelum dilupuskan di tapak pelupusan.
2. Bahan-bahan buangan itu dikumpulkan oleh kami sebelum dilupuskan di tapak pelupusan.
3. Alat tulis itu kami akan beli pada minggu depan.
4. Alat tulis itu perlu kamu membeli dengan secepat mungkin.
5. Ceramah kerjaya itu akan disampaikan pada hari esok seorang pakar motivasi.

Ayat sepatutnya:
1. ....... dikumpulkan (oleh) mereka .....
2. ....... kami kumpulkan .......
3. ....... akan kami beli .......
4. ....... perlu kamu beli .......
5. ....... disampaikan pada hari esok oleh seorang pakar motivasi.

Ulasan ringkas:
Proses pembentukan ayat pasif perlu difahami sebelum pelajar dapat menguasai apakah yang dikatakan ayat pasif. Ayat pasif merupakan ayat yang meletakkan ‘benda yang kena’ oleh perbuatan sebagai ‘subjek’ ayat. Dalam ayat 1 hingga 5 semua subjeknya ‘bahan buangan’, ‘alat tulis’ dan ‘ceramah’ merupakan benda yang kena oleh perbuatan.
1. ‘Mereka’ merupakan kata ganti nama diri ketiga yang perlu mengikut bentuk pasif yang betul iaitu didahului kata ganti nama diri baru kata kerja berimbuhan ‘di...kan’. Kata hubung ‘oleh’ merupakan unsur pilihan iaitu boleh wujud atau tidak wujud kerana selepas kata kerja pasif ‘dikumpulkan’ tiada sebarang keterangan.
2. Ayat (1), (2) dan (3) mengandungi kata ganti nama diri pertama (kami) dan kata ganti nama diri kedua (kamu) yang meletakkan pelaku baru diikuti kata kerja pasif tanpa imbuhan awalan. Antara pelaku dan kata kerja juga tidak boleh ada kata bantu (akan, perlu). Kata bantu aspek atau kata bantu ragam perlu sebelum pelaku.
3. Ayat (5) memerlukan kata hubung ‘oleh’ disebabkan selepas kata kerja pasif ‘disampaikan’ merupakan keterangan masa baru diikuti pelaku (pakar motivasi). Tanpa kata hubung ‘oleh’ ayat tersebut merupakan ayat tergantung.

3) Kesalahan Frasa Kerja Transitif dan Tak Transitif.
Kesalahan yang kerap dikemukakan merupakan kesalahan pembentukan frasa dan penggunaan imbuhan yang membentuk frasa kerja.

Kesalahan Contoh:
1. Kami akan menerangkan tentang perkara itu kepada mereka.
2. Aminah tidak mahu memulangkan semula buku itu kepada abangnya.
3. Mereka tidak dapat terima keputusan perlawanan itu lalu menarik diri daripada pertandingan.
4. Badrul berharap Ahmad akan menghubunginya sebaik sahaja sampai di Pulau Pinang.
5. Salleh berfikir kejadian itu tidak akan menjejaskan hubungannya dengan Kamil.

Ayat Sepatutnya:
1. .....akan menerangkan perkara itu ......
2. .....tidak mahu memulangkan buku itu semula .........
3. .....tidak dapat menerima keputusan ........
4. .....berharap agar Ahmad akan .........
5. .....berfikir bahawa kejadian itu ........

Ulasan ringkas:
1. Pembentukan frasa kerja transitif dalam ayat (1) dan (2) memerlukan kata nama atau frasa nama sebagai pelengkap atau penyambut ataupun objek. Perkataan ‘menerangkan’ dan ‘memulangkan’ merupakan kata kerja transitif yang harus menerima ‘perkara itu’ dan ‘buku’ sebagai penyambut. Secara ringkas, selepas kata kerja transitif diikuti ‘apakah’ benda yang kena oleh perbuatan.
2. Ayat 3 memerlukan imbuhan ‘MeN’ (me, men, meN..i, meN..kan, meng, meny, menge) bagi membentuk frasa kerja transitif.
3. Ayat (4) dan ayat (5) membentuk frasa kerja tak transitif yang memerlukan kata sendi nama ataupun kata hubung ‘agar’ dan ‘bahawa’ sebagai penyambung kepada keterangan. Tanpa kata sendi nama ataupun kata hubung ayat tersebut membentuk kesalahan frasa.

4) Kesalahan Frasa Adjektif.
Kesalahan yang kerap dikemukakan bagi kesalahan frasa adjektif ialah kesalahan dari segi pembentukannya dan penggunaan kata penguat yang tidak tepat.

Kesalahan Contoh:
1. Harris merupakan pelajar yang terpintar sekali di dalam kelasnya.
2. Mereka berpakaian begitu kemas benar untuk ke majlis tersebut.
3. Cikgu Adnin sering menjadi guru yang paling terawal sampai di sekolah pada setiap hari.
4. Pemuda itu menjadi begitu terkenal sekali setelah memenangi pingat emas di peringkat Sukan
Olimpik.
5. Bangunan itulah yang paling tinggi sekali di Kuala Lumpur.
6. Saya sungguh benci kelakuan buruknya.

Ayat sepatutnya:
1. ........pelajar yang terpintar di dalam kelasnya. (atau) ....... pintar sekali di dalam kelasnya.
2. ........berpakaian begitu kemas untuk ......(atau) ........berpakaian kemas sekali untuk .......
3. ........guru yang paling awal sampai.......(atau) ........guru yang terawal sampai .........
4. ........menjadi begitu terkenal setelah .......(atau) .......menjadi terkenal sekali setelah......
5. ........yang paling tinggi di Kuala Lumpur. (atau) ........yang tinggi sekali di Kuala Lumpur.
6. .......sungguh benci akan kelakuan buruknya.

Ulasan ringkas:
Dua kata penguat dalam frasa adjektif tidak boleh digunakan dalam satu adjektif kecuali KATA PENGUAT BEBAS (sungguh, sangat dan amat). Begitu juga dengan imbuhan ‘ter’ yang mendukung maksud darjah penghabisan tidak boleh menerima kata penguat kecuali kata kata penguat bebas. Selain itu kata adjektif perasaan juga memerlukan kata sendi nama untuk dihubungkan dengan keterangan (lihat ayat 6).
Contoh dua kata penguat yang BOLEH digunakan dalam frasa adjektif ialah:
1. amat cantik sekali
2. sungguh besar sekali.
3. sangat baik benar.
4. teramat pandai.
5. tersangat masyhur.
· Dua KATA PENGUAT BEBAS (sangat, sungguh dan amat) BOLEH digunakan bersama atau digabungkan dengan satu lagi penguat ( biasanya kata penguat ‘sekali’) dalam satu adjektif seandainya salah satunya merupakan KATA PENGUAT BEBAS.

5) Kesalahan Frasa Sendi
Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah pengguguran frasa sendi antara kata kerja intransitif dan kata nama. Selain itu penggunaan kata sendi nama yang tidak tepat juga merupakan kesalahan lazim yang kerap dikemukakan dalam peperiksaan.

Kesalahan Contoh:
1. Mereka berasal dari sebuah keluarga yang besar.
2. Kami tidak menyangka bahawa mereka akan keluar daripada hutan itu secepat ini.
3. Mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kebakaran itu akan ditempatkan di rumah panjang.
4. Dia melemparkan buku tersebut ke Azhar kerana terlalu marah.
5. Mereka memulakan kerja pembersihan itu daripada sudut kanan kawasan itu.

Ayat sepatutnya:
1. .......berasal daripada sebuah keluarga......
2. .......keluar dari hutan .........
3. .......yang terlibat dalam kebakaran..........
4. ........melemparkan buku tersebut kepada Azhar........
5. ........kerja pembersihan itu dari sudut kanan.......

Ulasan ringkas:
Pembentukan frasa sendi perlu mengikut tujuan pembentukannnya yang tepat. Sesuatu kata sendi yang membentuk frasa sendi tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya walaupun dalam keadaan biasa diterima dan difahami maksud fras berkenaan. Misalnya kata sendi ‘dari’ perlu digunakan untuk menunjukkan ARAH, TEMPAT dan MASA. Dalam ayat (3) frasa ‘di dalam kebakaran’ tidak boleh diterima sebagai betul kerana ‘kebakaran’ tidak menunjukkan maksud tempat sebaliknya bermaksud keadaan sesuatu atau hal. Maka kata sendi nama ‘di’ perlu digugurkan dan hanya menggunakan ‘dalam’. Dalam ayat (4) ‘Azhar’ menunjukkan maksud ‘manusia’ yang perlu menggunakan kata sendi nama ‘kepada’ bagi membentuk hukum penggunaan kata sendi nama yang betul. Ayat (5) ‘sudut kanan’ bermaksud tempat, maka kata sendi nama ‘dari’ perlu digunakan untuk membentuk frasa sendi yang betul.

BAHAGIAN 1 - KESALAHAN KATA

KESALAHAN PEMBENTUKAN KATA
Antara kesalahan penggunaan kata yang kerap dikemukakan dalam peperiksaan ialah;
i. Kata ganti nama diri.
ii. Kata sendi dan kata hubung
iii. Kata kerja transitif dan tak transitif
iv. Kata adjektif
v. Kata ganti (kata ganti nama tak tentu, kata ganti penunjuk, kata ganti tempat)
vi. Penggunaan kata bilangan
vii. Penggunaan penjodoh bilangan
viii. Penggunaan kata yang tidak tepat
ix. Kesalahan penggunaan imbuhan
x. Kesalahan-kesalahan Penggunaan Kata

i. Kesalahan Penggunaan kata Ganti Diri
Bagi kesalahan kata ganti diri, kesalahan yang kerap dikemukakan ialah ketidaktepatan penggunaan kata ganti diri dalam situasi ayat.
Contoh Kesalahan:
1. Pencuri itu diberkas ketika beliau cuba mencuri wang Encik Rahman.
2. Mereka-mereka telah berkhemah di pinggir hutan itu selama tiga hari.
3. Kerbau-kerbau itu terpaksa dibunuh kerana ianya dijangkit penyakit berjangkit.

Ayat Sepatutnya:
1a. Pencuri itu ditangkap ketika dia cuba mencuri wang Encik Rahman.
2a. Mereka telah berkhemah di pinggir hutan itu selama tiga hari.
3a. Kerbau-kerbau itu terpaksa dibunuh kerana dijangkiti penyakit berjangkit.
Ulasan Ringkas:
- Kata ‘beliau’ hanya digunakan untuk orang yang dihormati sahaja.
- Kata ‘mereka’ tidak boleh digandakan kerana telah menunjukkan maksud jamak.
- Kata ‘ianya’ perlu digugurkan kerana kedua-dua kata ganti nama diri tersebut tidak boleh digabungkan. Kata ganti nama diri ‘ia’ juga tidak boleh digunakan untuk menunjukkan kata nama selain manusia.

ii. Kesalahan Penggunaan kata Bilangan
Kesalahan penggunaan kata bilangan merupakan bentuk yang paling kerap dikemukakan dan merangkumi kesemua bentuk kata bilangan.
Contoh Kesalahan:
1. Tiap pelajar perlu mendisiplinkan diri untuk menjadi warganegara yang berguna.
2. Para-para guru perlu berkorban demi masa depan pelajar dan negara.
3. Setengah negara mengenakan hukuman yang berat ke atas pengedar-pengedar dadah.

Ayat Sepatutnya:
1. Setiap (atau tiap-tiap) pelajar …….
2. Para guru (atau guru-guru) …………
3. Sesetengah negara (atau: setengah-setengah negara) ..............
Ulasan Ringkas:
- Kata ‘Setiap’ atau ‘Tiap-tiap’ tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya.
- Kata ‘para’ telah menunjukkan maksud jamak dan tidak boleh digandakan untuk menunjukkan bilangan kerana bermaksud ‘rak’. Kata ‘setengah’ pula merujuk kepada maksud ‘separuh’ atau ‘satu perdua’ bahagian.

iii. Kesalahan Penggunaan Kata Kerja
Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah tidak meletakkan imbuhan pada kata kerja atau menggugurkan awalan MeN… pada kata kerja transitif atau kesalahan meletakkan objek tepat pada kata kerja
Contoh Kesalahan:
1. Ahmad kerap jalan kaki ke sekolah.
2. Pak Osman sering nasihat anaknya supaya berbuat baik.
3. Tuan hakim telah menjatuhi hukuman penjara selama lima tahun ke atas pencuri itu.

Ayat Sepatutnya:
1. ……… berjalan kaki …..
2. ……… menasihati anaknya ……….
3. ……… menjatuhkan hukuman ….
4. atau ……… menjatuhi pencuri itu…

iv. Kesalahan Pembentukan Kata Adjektif
Sesetengah kata adjektif tidak nyata yang bersifat emotif (perasaan) dapat diperluas dengan menambahkan frasa nama selepas kata adjektif berkenaan. Sekiranya hal ini berlaku, kata adjektif berkenaan perlu menerima kata sendi nama. Kata adjektif berkenaan tidak boleh menerima akhiran ‘kan’ untuk menggantikan kata sendi nama ‘akan’. Kata adjektif berkenaan juga tidak boleh diikuti terus oleh kata nama tanpa kata sendi nama.
Contoh Kesalahan:
Saya sayangkan negara ini.
Mereka sukakan makanan yang tidak mengandungi lemak.
Saya percaya Ahmad akan datang sebentar lagi.
Ayat Sepatutnya:
Saya sayang akan negara ini.
Mereka suka akan makanan yang tidak mengandungi lemak.
saya percaya bahawa Ahmad akan datang sebentar lagi.

v. Kesalahan Penggunaan Kata Ganti
Kata ganti tak tentu merupakan kesalahan yang kerap dikemukakan dalam peperiksaan. Kata ganti tak tentu digunakan untuk menggantikan sesuatu sama ada benda (apa-apa), orang (siapa-siapa atau sesiapa), tempat (mana-mana), masa (bila-bila) dan bilangan (beberapa). Penggunaannya mesti digandakan dalam ayat-ayat penyata kerana tanpa penggandaan perkataan berkenaan akan membentuk kata ganti pertanyaan dalam ayat-ayat tanya.
Contoh Kesalahan:
Saya tidak pergi ke mana pun semasa cuti persekolahan yang lalu.
Kamu boleh datang ke rumah kami bila sahaja kamu suka.
Siapa sahaja yang melakukan kesalahan mengedarkan dadah akan dikenakan hukuman yang gantung sampai mati.
Ayat Sepatutnya:
.....pergi ke mana-mana pun .....
.....ker rumah kami bila-bila......
Sesiapa (atau sesiapa) sahaja yang .......

vi. Kesalahan Penggunaan Kata Sendi dan Kata Hubung.
Kesalahan yang sering dikesan ialah kesalahan penggunaan kata sendi dan kata hubung yang tidak tepat dengan maksud atau kehendak ayat.
Contoh Kesalahan:
1. Saya baru pulang daripada rumah nenek.
2. Kami akan menghubungi saudara daripada semasa kepada semasa.
3. Kami amat terpesona dengan keindahan pulau itu.

Ayat Sepatutnya:
1. ………pulang dari rumah………
2. ………dari semasa ke semasa …….
3. ………oleh (atau akan) keindahan ...
Ulasan ringkas:
- rumah nenek menunjukkan tempat dan mesti menerima kata sendi 'dari'.
- ‘semasa’ menunjukkkan masa dan perlu menerima kata sendi dari atau 'ke'.
- Penggunaan kata hubung ‘dengan’ menunjukkan maksud bersama. Contohnya; Dia datang dengan Ahmad.

vii. Kesalahan Penggunaan Kata yang Tidak Tepat Dengan Maksud Ayat.
Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah penggunaan kata yang tidak tepat dalam ayat terutamanya pada kata kerja dan kata adjektif yang hampir sama maksud.
Contoh Kesalahan:
1. Dia menangis tersipu-sipu kerana sedih dengan kejadian itu.
2. Banyak kawasan pendalaman di negara ini telah dimajukan.
3. Mail selalu merengek kerana kerap dibebani tugas yang berat oleh ketuanya.

Ayat Sepatutnya:
1. ………menangis tersedu-sedu……
2. ………kawasan pedalaman………
3. ………selalu merungut kerana……
Ulasan Ringkas:
- Kata ‘tersipu-sipu’ hanya digunakan bagi maksud perasaan malu.
- Kata ‘pendalaman’ menunjukkan maksud menerangkan kata kerja mendalamkan. Maksud ayat ialah kawasan.
- Kata ‘merengek’ menunjukkan maksud meminta-minta dengan suara manja.

viii. Kesalahan Penggunaan Penjodoh Bilangan.
Kerapkali kesalahan yang dikemukakan ialah meletakkan penjodoh bilangan pada kata nama abstrak ataupun pada kata bilangan tak tentu.
Contoh Kesalahan:
1. Dia mempunyai sebuah impian untuk menjadi seorang angkasawan.
2. Semua orang pelajar dikehendaki mematuhi peraturan sekolah.
3. Kebakaran itu telah memusnahkan seluruh buah bangunan itu.

Ayat Sepatutnya:
1. ………mempunyai impian………
2. Semua pelajar ………….
3. ………memusnahkan seluruh bangunan……….
Ulasan Ringkas:
Penjodoh bilangan tidak boleh digunakan bersama kata nama abstrak dan kata bilangan tak tentu kecuali kata bilangan tak tentu ‘beberapa’.

ix. Kesalahan Penggunaan Imbuhan
Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah penggunaan imbuhan yang tidak tepat dengan maksud ayat atau menyalahi hukum pembentukan imbuhan.
Contoh Kesalahan:
1. Ahli politik itu cuba memperluaskan pengaruhnya ke seluruh negara.
2. Malaysia telah mengalami penumbuhan ekonomi yang pesat.
3. Kami telah menemui mayat itu di bawah pokok bakau.

Ayat Sepatutnya.
1. ………memperluas pengaruhnya…..
2. ………mengalami pertumbuhan ekonomi……….
3. ………telah menemukan mayat itu…
Ulasan Ringkas:
- Kata adjektif ‘luas’ tidak boleh menerima imbuhan ‘Memper…kan’ – hanya menerima ‘MeN... kan/i’ atau ‘Memper...’
- Kata ‘penumbuhan’ terbit daripada kata kerja menumbuhkan sedangkan maksud ayat menunjukkan ber….
- Kata ‘menemui’ menunjukkan maksud bertemu atau berjumpa dengan seseorang.

Monday 16 March 2009

Selamat Datang

Asssalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada mereka yang pertama kali melayari blog saya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat saya Cikgu Abdul Ghalib Yunus yang menggalakkan saya membina blog sendiri dalam usaha memperjuangkan bahasa Melayu dan memartabatkannya di tempat yang sewajarnya sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa Rasmi Negara Tercinta di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 152.