Friday 14 May 2010

Bahagian 8: PEMBENTUKAN IMBUHAN BER... DAN BER...KAN

PROSES PEMBENTUKAN IMBUHAN BER... DAN BER...KAN

Sembang kali ini, kita akan membincangkan kekeliruan dalam aspek tatabahasa. Kedua-dua imbuhan yang dibincangkan kerap menimbulkan kekeliruan kepada pelajar. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan juga didapati kerap memerangkap pelajar kerana bantuknya yang hampir sama. Selain itu, kekeliruan juga timbul sebagai kesan daripada kebiasaan penggunaannya dalam perbualan seharian.
Dalam pembentukan imbuhan ‘ber...’ dan ‘ber...kan’ sering terdapat kekeliruan dari segi pembentukan ayatnya. Kesalahan yang kerap dilakukan ialah menyamakan pembentukan ayat bagi kedua-dua imbuhan ini.
Teliti ayat berkenaan yang salah dari segi pembentukannya.

Kesalahan Ayat Contoh:

1. Mereka mengembara di dalam hutan itu berdasar peta yang dibekalkan oleh pihak penganjur.
2. Mereka mengembara di dalam hutan itu berdasarkan pada peta yang dibekalkan oleh pihak penganjur.

Kedua-dua ayat di atas mengandungi kesalahan dari segi proses pembentukannya. Dalam ayat (1) selepas kata ‘berdasar’ harus diikuti oleh kata sendi yang menghubungkan kata kerja berimbuhan ‘ber...’ dengan keterangan iaitu kata nama ‘peta’. Ini bertepatan dengan hukum pembentukan frasa kerja intransitif yang memerlukan kata sendi selepas kata kerja. Dalam ayat (2) yang digolongkan sebagai frasa kerja intransitif berpelengkap, selepas kata ‘berdasarkan’ harus diikuti oleh pelengkap kata nama. Selepas kata kerja ‘berdasarkan’ tidak boleh diikuti oleh kata sendi.

A. Imbuhan “Ber...”
Imbuhan ‘Ber...’ tergolong dalam imbuhan yang membentuk kata kerja aktif intransitif yang tidak berpelengkap kata nama. Kata kerja intransitif seperti ini boleh berdiri sendiri tetapi boleh diperluas dengan menambahkan keterangan. Pada dasarnya kata kerja berimbuhan ‘ber..’ boleh menerima semua golongan kata. Namun ada juga kata kerja berimbuhan ‘ber...’ yang menerima pelengkap kata nama ataupun kata adjektif. Lihat perbandingan imbuhan ‘ber...’ yang tidak berpelengkap dan berpelengkap.

Ayat Contoh;

1 Mereka sedang berjalan
2 Mereka sedang berjalan di tepi pantai
3 Datuknya yang sakit beransur sembuh
4 Dia sentiasa berbuat baik sesama manusia

Analisis Ayat:
Ayat (1) tidak memerlukan pelengkap kata nama kerana boleh berdiri sendiri tetapi boleh diperluas dengan menambahkan keterangan sebagaimana ayat (2). Ayat (3) pula perlu menerima pelengkap yang terdiri daripada kata adjektif iaitu ‘sembuh’. Tanpa pelengkap ‘sembuh’, ayat (3) akan membentuk ayat tergantung. Hal yang sama dilihat pada ayat (4) perkataan ‘berbuat’ harus menerima pelengkap ‘baik’ untuk membentuk maksud ayat yang sempurna.
Kata kerja berimbuhan ‘ber...’ yang diperluas dengan keterangan perlu didahului oleh kata sendi ataupun kata hubung untuk membentuk struktur ayat yang sempurna. Tanpa kata sendi nama ataupun kata hubung, ayat-ayat yang dibina tidak sempurna. Teliti contoh ayat berikut;

Ayat Contoh:

1. Zulkifli menulis buku biografinya berdasar pada pengalamannya sebagai guru.
2. Muslimin tidak mahu bertanya kepada gurunya walaupun tidak faham akan cerita itu.
• Perkataan berimbuhan awalan ‘ber...’ juga membentuk ayat pasif apabila subjek ayat merupakan benda yang kena oleh perbuatan. Ayat-ayat pasif berawalan ‘ber...’ tidak menyatakan pelaku perbuatan. Teliti contoh ayat berikut;

Ayat Pasif Berawalan ‘ber...’ Contoh
1. Baju-baju itu belum berbasuh sejak semalam.
2. Pintu pagar rumahnya tidak pernah bertutup.

Analisis Ayat:
Dalam ayat (1) baju merupakan benda yang belum kena basuh, ayat (2) pintu pagar rumah merupakan benda yang tidak kena tutup. Ayat-ayat berikut juga tidak boleh menerima pelaku kerana ayat pasif berimbuhan ‘ber....’ tidak menerima pelaku kerana sifat ayat pasif tidak mementingkan pelaku kata kerja (Sebab itu dalam ayat pasif, pelaku diletakkan sebagai predikat ayat)

Kesalahan Contoh:

1. Baju-baju itu belum berbasuh oleh Aminah sejak semalam.
2. Pintu pagar rumahnya tidak pernah bertutup oleh orang tua itu.
• Ayat tersebut perlu menggugurkan pelakunya atau digantikan dengan bentuk ayat pasif pelaku kata ganti nama diri ketiga seperti berikut.

Ayat contoh sepatutnya;

1. Baju-baju itu belum dibasuh oleh Aminah sejak semalam.
2. Pintu pagar rumahnya tidak pernah ditutup oleh orang tua itu.

B. Imbuhan “Ber...kan”
Imbuhan ‘Ber...kan’ merupakan kata kerja intransitif yang berpelengkap kata nama. Namun perkara ini harus dibezakan dengan pembentukan frasa kerja transitif berpelengkap kerana kata kerja berimbuhan ‘ber...kan’ berpelengkap kata nama ini tidak boleh dipasifkan sebagaimana frasa kerja transitif berpelengkap kata nama. Tanpa pelengkap kata nama, ayat-ayat yang dibina menjadi ayat tergantung.
Imbuhan ‘ber...kan’ juga menunjukkan maksud mempunyai ataupun menggunakan sesuatu sebagai alat atau bahan perbuatan intransitif. Misalnya ‘berbantalkan lengan’ bermaksud menggunakan lengan sebagai bantal. Manakala frasa ‘berbuahkan emas’ pula bermaksud mempunyai ‘emas’ sebagai buah.

Lihat kesalahan contoh;

1. Mereka hanya bertilamkan semasa menyertai perkhemahan itu.
2. Dia tidur berbantalkan.

Semua contoh ayat di atas tidak sempurna maksudnya kerana tiada pelengkap kata nama yang menuruti kata kerja. Ayat-ayat di atas juga tidak boleh dipasifkan walaupun menerima pelengkap kata nama.

Ayat Sepatutnya;
1. Mereka hanya bertilamkan rumput semasa menyertai perkhemahan itu.
2. Dia tidur berbantalkan lengan.

Analisis ayat:
1. Mereka menggunakan rumput sebagai tilam.
2. Dia menggunakan lengan sebagai bantal.

4 comments:

  1. assalamualaikum wbt , ckg ,, sye ni yg sertai seminar pmr baru2 ni.. ckg nanti klau ada soalan2 tlong send dkat email ni yer .. syahirahsolehah@yahoo.com
    thank ckgu..

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum En. Azmi,

    saya ingin mengetahui fungsi penggunaan imbuhan "kan" dalam percakapan atau dialog yg tidak formal?

    rossilaabdullah@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum warahmatullah,

    Saya ingin meminta jasa baik Cikgu sekrianya dapat membantu saya memberi penerangan lebih mendalam tentang imbuhan ber-an. dalam buku TATABAHASA DEWAN edisi ketiga, mengkategorikan ber-an sebagai kata kerja dan boleh digunakan pada kumpulan dasar kata kerja, kata nama dan kata sifat (adjective). Masalah saya ialah penggunaan ber-an dalam kata sifat seperti berjauhan, berhampiran, perpanjangan. Bagaimana ktia boleh kategorikan sebagai kata kerja sedangkan dia lebih kepada kata sifat?..terima kasih pandangna Cikgu amat saya hargai

    ReplyDelete
  4. saya masih tak faham lg penggunaan ayat berdasarkan?
    berdasarkan kepada, berdasar pada atau berdasarkan?
    yg mana btl?

    ReplyDelete