Tuesday, 17 March 2009

BAHAGIAN 2 - KESALAHAN FRASA

KESALAHAN PEMBENTUKAN FRASA
Antara kesalahan dari segi frasa yang kerap dikemukakan ialah;
1) Frasa nama (kata nama jamak, kata majmuk, rangkai kata setara dan hukum DM)
2) Frasa kerja pasif kata ganti diri pertama/kedua dan kata ganti diri ketiga
3) Frasa kerja transitif dan tak transitif
4) Frasa adjektif
5) Frasa sendi

1) Kesalahan Frasa Nama
Kesalahan yang kerap ialah kesalahan penggunaan bentuk jamak ataupun kata bilangan, kata nama majmuk, rangkai kata setara dan hukum DM.

Kesalahan Contoh:
1. Kesemua peserta-peserta seminar itu dihadiahi cenderamata sebagai kenang-kenangan.
2. Kami akan membincangkan lain-lain hal dalam mesyuarat tersebut.
3. Alat tulis-alat tulis itu kami beli dari kedai buku berhampiran.
4. Ibu-ibu bapa pelajar sekolah itu diwajibkan hadir ke majlis penyerahan keputusan peperiksaan anak-anak mereka.
5. Para-para guru diseru oleh Menteri Pendidikan agar sentiasa peka dengan perkembangan teknologi maklumat.

Ayat sepatutnya:
1. Kesemua peserta (atau: peserta-peserta) seminar itu ......
2. ...... membincangkan hal-hal lain dalam mesyuarat ......
3. Alat-alat tulis (atau: semua alat tulis) itu kami beli .......
4. Para ibu bapa pelajar sekolah itu ......
5. Para guru (atau: guru-guru) diseru .......

Ulasan ringkas:
1. Kata nama yang telah digandakan dan menunjukkan bilangan tidak boleh menerima kata bilangan lagi. Namun kata nama yang digandakan tetapi tidak menunjukkan bilangan perlu menerima kata bilangan seperti ‘semua kanak-kanak’ atau ‘ semua rama-rama’.
2. Perkataan ‘hal’ harus mendahului perkataan ‘lain’ dan digandakan untuk menunjukkan hal yang banyak, bukannya lain yang banyak.
3. Kata majmuk ‘alat tulis’ tidak boleh digandakan keseluruhannya, memadai digandakan perkataan pertama sahaja atau menerima kata bilangan.
4. Perkataan ‘ibu bapa’ merupakan rangkai kata setara yang boleh diselitkan perkataan ‘dan’ ataupun ‘atau’ dan tidak boleh digandakan langsung, sebaliknya hanya menerima kata bilangan untuk menunjukkan jumlah.
5. Sama sebagaimana dalam ayat (1)

2) Kesalahan Frasa Kerja Pasif.
Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah pembentukan frasa kerja pasif kata ganti diri pertama dan kedua yang tidak tepat atau menyisipkan apa-apa perkataan sama ada kata bantu atau kata sendi antara pelaku dan kata kerja pasif diri pertama dan kedua. Selain itu kesalahan pembentukan frasa kerja pasif kata ganti diri ketiga yang tidak tepat iaitu mengikut bentuk ayat pasif kata ganti nama diri pertama atau kata ganti nama diri kedua. Selain itu juga terdapat ayat pasif kata ganti nama diri ketiga yang menerima keterangan selepas kata kerja yang menggugurkan kata sendi nama ‘oleh’.

Kesalahan Contoh:
1. Bahan-bahan buangan itu mereka kumpulkan sebelum dilupuskan di tapak pelupusan.
2. Bahan-bahan buangan itu dikumpulkan oleh kami sebelum dilupuskan di tapak pelupusan.
3. Alat tulis itu kami akan beli pada minggu depan.
4. Alat tulis itu perlu kamu membeli dengan secepat mungkin.
5. Ceramah kerjaya itu akan disampaikan pada hari esok seorang pakar motivasi.

Ayat sepatutnya:
1. ....... dikumpulkan (oleh) mereka .....
2. ....... kami kumpulkan .......
3. ....... akan kami beli .......
4. ....... perlu kamu beli .......
5. ....... disampaikan pada hari esok oleh seorang pakar motivasi.

Ulasan ringkas:
Proses pembentukan ayat pasif perlu difahami sebelum pelajar dapat menguasai apakah yang dikatakan ayat pasif. Ayat pasif merupakan ayat yang meletakkan ‘benda yang kena’ oleh perbuatan sebagai ‘subjek’ ayat. Dalam ayat 1 hingga 5 semua subjeknya ‘bahan buangan’, ‘alat tulis’ dan ‘ceramah’ merupakan benda yang kena oleh perbuatan.
1. ‘Mereka’ merupakan kata ganti nama diri ketiga yang perlu mengikut bentuk pasif yang betul iaitu didahului kata ganti nama diri baru kata kerja berimbuhan ‘di...kan’. Kata hubung ‘oleh’ merupakan unsur pilihan iaitu boleh wujud atau tidak wujud kerana selepas kata kerja pasif ‘dikumpulkan’ tiada sebarang keterangan.
2. Ayat (1), (2) dan (3) mengandungi kata ganti nama diri pertama (kami) dan kata ganti nama diri kedua (kamu) yang meletakkan pelaku baru diikuti kata kerja pasif tanpa imbuhan awalan. Antara pelaku dan kata kerja juga tidak boleh ada kata bantu (akan, perlu). Kata bantu aspek atau kata bantu ragam perlu sebelum pelaku.
3. Ayat (5) memerlukan kata hubung ‘oleh’ disebabkan selepas kata kerja pasif ‘disampaikan’ merupakan keterangan masa baru diikuti pelaku (pakar motivasi). Tanpa kata hubung ‘oleh’ ayat tersebut merupakan ayat tergantung.

3) Kesalahan Frasa Kerja Transitif dan Tak Transitif.
Kesalahan yang kerap dikemukakan merupakan kesalahan pembentukan frasa dan penggunaan imbuhan yang membentuk frasa kerja.

Kesalahan Contoh:
1. Kami akan menerangkan tentang perkara itu kepada mereka.
2. Aminah tidak mahu memulangkan semula buku itu kepada abangnya.
3. Mereka tidak dapat terima keputusan perlawanan itu lalu menarik diri daripada pertandingan.
4. Badrul berharap Ahmad akan menghubunginya sebaik sahaja sampai di Pulau Pinang.
5. Salleh berfikir kejadian itu tidak akan menjejaskan hubungannya dengan Kamil.

Ayat Sepatutnya:
1. .....akan menerangkan perkara itu ......
2. .....tidak mahu memulangkan buku itu semula .........
3. .....tidak dapat menerima keputusan ........
4. .....berharap agar Ahmad akan .........
5. .....berfikir bahawa kejadian itu ........

Ulasan ringkas:
1. Pembentukan frasa kerja transitif dalam ayat (1) dan (2) memerlukan kata nama atau frasa nama sebagai pelengkap atau penyambut ataupun objek. Perkataan ‘menerangkan’ dan ‘memulangkan’ merupakan kata kerja transitif yang harus menerima ‘perkara itu’ dan ‘buku’ sebagai penyambut. Secara ringkas, selepas kata kerja transitif diikuti ‘apakah’ benda yang kena oleh perbuatan.
2. Ayat 3 memerlukan imbuhan ‘MeN’ (me, men, meN..i, meN..kan, meng, meny, menge) bagi membentuk frasa kerja transitif.
3. Ayat (4) dan ayat (5) membentuk frasa kerja tak transitif yang memerlukan kata sendi nama ataupun kata hubung ‘agar’ dan ‘bahawa’ sebagai penyambung kepada keterangan. Tanpa kata sendi nama ataupun kata hubung ayat tersebut membentuk kesalahan frasa.

4) Kesalahan Frasa Adjektif.
Kesalahan yang kerap dikemukakan bagi kesalahan frasa adjektif ialah kesalahan dari segi pembentukannya dan penggunaan kata penguat yang tidak tepat.

Kesalahan Contoh:
1. Harris merupakan pelajar yang terpintar sekali di dalam kelasnya.
2. Mereka berpakaian begitu kemas benar untuk ke majlis tersebut.
3. Cikgu Adnin sering menjadi guru yang paling terawal sampai di sekolah pada setiap hari.
4. Pemuda itu menjadi begitu terkenal sekali setelah memenangi pingat emas di peringkat Sukan
Olimpik.
5. Bangunan itulah yang paling tinggi sekali di Kuala Lumpur.
6. Saya sungguh benci kelakuan buruknya.

Ayat sepatutnya:
1. ........pelajar yang terpintar di dalam kelasnya. (atau) ....... pintar sekali di dalam kelasnya.
2. ........berpakaian begitu kemas untuk ......(atau) ........berpakaian kemas sekali untuk .......
3. ........guru yang paling awal sampai.......(atau) ........guru yang terawal sampai .........
4. ........menjadi begitu terkenal setelah .......(atau) .......menjadi terkenal sekali setelah......
5. ........yang paling tinggi di Kuala Lumpur. (atau) ........yang tinggi sekali di Kuala Lumpur.
6. .......sungguh benci akan kelakuan buruknya.

Ulasan ringkas:
Dua kata penguat dalam frasa adjektif tidak boleh digunakan dalam satu adjektif kecuali KATA PENGUAT BEBAS (sungguh, sangat dan amat). Begitu juga dengan imbuhan ‘ter’ yang mendukung maksud darjah penghabisan tidak boleh menerima kata penguat kecuali kata kata penguat bebas. Selain itu kata adjektif perasaan juga memerlukan kata sendi nama untuk dihubungkan dengan keterangan (lihat ayat 6).
Contoh dua kata penguat yang BOLEH digunakan dalam frasa adjektif ialah:
1. amat cantik sekali
2. sungguh besar sekali.
3. sangat baik benar.
4. teramat pandai.
5. tersangat masyhur.
· Dua KATA PENGUAT BEBAS (sangat, sungguh dan amat) BOLEH digunakan bersama atau digabungkan dengan satu lagi penguat ( biasanya kata penguat ‘sekali’) dalam satu adjektif seandainya salah satunya merupakan KATA PENGUAT BEBAS.

5) Kesalahan Frasa Sendi
Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah pengguguran frasa sendi antara kata kerja intransitif dan kata nama. Selain itu penggunaan kata sendi nama yang tidak tepat juga merupakan kesalahan lazim yang kerap dikemukakan dalam peperiksaan.

Kesalahan Contoh:
1. Mereka berasal dari sebuah keluarga yang besar.
2. Kami tidak menyangka bahawa mereka akan keluar daripada hutan itu secepat ini.
3. Mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kebakaran itu akan ditempatkan di rumah panjang.
4. Dia melemparkan buku tersebut ke Azhar kerana terlalu marah.
5. Mereka memulakan kerja pembersihan itu daripada sudut kanan kawasan itu.

Ayat sepatutnya:
1. .......berasal daripada sebuah keluarga......
2. .......keluar dari hutan .........
3. .......yang terlibat dalam kebakaran..........
4. ........melemparkan buku tersebut kepada Azhar........
5. ........kerja pembersihan itu dari sudut kanan.......

Ulasan ringkas:
Pembentukan frasa sendi perlu mengikut tujuan pembentukannnya yang tepat. Sesuatu kata sendi yang membentuk frasa sendi tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya walaupun dalam keadaan biasa diterima dan difahami maksud fras berkenaan. Misalnya kata sendi ‘dari’ perlu digunakan untuk menunjukkan ARAH, TEMPAT dan MASA. Dalam ayat (3) frasa ‘di dalam kebakaran’ tidak boleh diterima sebagai betul kerana ‘kebakaran’ tidak menunjukkan maksud tempat sebaliknya bermaksud keadaan sesuatu atau hal. Maka kata sendi nama ‘di’ perlu digugurkan dan hanya menggunakan ‘dalam’. Dalam ayat (4) ‘Azhar’ menunjukkan maksud ‘manusia’ yang perlu menggunakan kata sendi nama ‘kepada’ bagi membentuk hukum penggunaan kata sendi nama yang betul. Ayat (5) ‘sudut kanan’ bermaksud tempat, maka kata sendi nama ‘dari’ perlu digunakan untuk membentuk frasa sendi yang betul.

4 comments:

  1. salam,
    saya ada kekeliruan sedikit tentang penggunaan kata hubung 'yang'. Bolehkah kata 'yang' digunakan di permulaan ayat?

    ReplyDelete
  2. Maklumat cikgu sungguh jelas. Terima kasih kerana telah dapat membantu saya dalam menambah bahan untuk tugasan saya.

    ReplyDelete
  3. Cikgu....... apakah kesalahan bagi ayat berikut
    1.berusaha untuk memperkuatkan bahagian serangan...
    2.telah dipersetujui oleh kedua ibubapanya

    ReplyDelete
  4. frasa dirujuk bolehkah ditulis dirujuki

    ReplyDelete